Sunday, November 21, 2010

Stres Dari Perspektif Rohani


Stres mungkin adalah penyebab utama penyakit dalam dunia moden hari ini. Stres adalah perkataan umum yang digunakan oleh kebanyakan orang untuk menggambarkan maksudnya yang tersendiri. Bagaimana pun bagi orang yang berorientasikan sains, stres menjadi tumpuan kajian oleh ahli-ahli psikologi, penganalisis tabiat dan para doktor. Stres telah dikaji dan dibincangkan secara meluas. Dan menurut sebahagian ahli psikologi, stres mempunyai perspektif dari segi rohani yang mana dengan adanya pengetahuan dalam hal ini, ia dapat membantu kita mengangani stres.

Stres adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan jasmani dan ia berkait rapat pula dengan rohani kita. Dua aspek tersebut saling melengkapi dan menciptakan persekitaran dalam diri seseorang. Kekuatan rohani seseorang mampu memberi sokongan kepada tubuh fizikalnya untuk menanggung segala penderitaan atau kesakitan. Oleh itu stres merupakan satu hubungan antara tubuh, minda dan rohani.

Bukanlah mudah untuk mendefinisikan stres, malah ia merupakan satu subjek yang mempunyai implikasi yang pelbagai. Dalam kamus Oxford definisi stres ialah “Tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau mental.” Definisi stres dalam ungkapan yang ringkas ialah suatu keadaan di mana kekuatan fizikal, mental dan emosi diuji melampaui keupayaan tubuh dan minda yang tidak mampu menahan dan menanggungnya.

Kesimpulannya stres adalah suatu keadaan yang tidak selesa. Dalam tahun 1920 Walter Cannon seorang ahli psikologi yang terkemuka, mengemukakan bahawa maksud stres sebagai gerak balas lawan atau lari. Wilhem Raab kemudiannya mengemukakan kesan kelebihan hormon adrenalin dan kortison dalam badan manusia membuatkan seseorang itu stres. Hasn Selye pula memberikan maksud baru, dengan membuktikan dalam kajiannya terhadap binatang. Beliau menunjukkan bahawa stres menyebabkan penyakit. Dan penyakiti yang disebabkan oleh stres boleh menyebabkan kematian dan ia boleh berlaku pada manusia.

Sebenarnya stres itu adalah sebahagian dari kehidupan kita, baik dari segi keburukan mahupun dari segi kebaikannya. Untuk memahami asal-usul stres itu seseorang hendaklah memahami tujuan dan matlamat hidupnya. Kelahiran dan kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada Tuhan yang mencipta tujuan hidup manusia untuk membuktikan kewujudan-Nya. Dan Tuhan menampakkan menifestasinya lebih banyak pada diri manusia dibandingkan dengan makhluk-Nya yang lain.

Dalam aspek inilah sebuah gambaran Asma Ilahi telah ditanamkan di dalam tingkah laku manusia. Ketika gambaran tersebut sempurna ia pun dinamakan Khalifatullah. Ini dapat dikembangkan di dalam diri kita. Melalui hubungan dengan Tuhan, ia dapat melenyapkan stres yang dihadapi oleh manusia di zaman siber ini. Oleh keran itu warnailah diri kita dengan sifat-sifat Tuhan. Jangan pisahkan sifat-sifat ini dalam kehidupan kita, kerana benda apa sahaja jika sifat-sifatnya ditinggalkan nescaya ia tidak akan ada wujudnya.

Lihatlah besi misalnya, besi memiliki sifat-sifatnya yang tertentu. Apabila besi itu kita pisahkan dari sifat-sifatnya maka tamatlah riwayat besi itu. Oleh yang demikian orang yang demi untuk Tuhan mereka meninggalkan dunianya lalu mengambil dunia Tuhan maka Allah menjaga dunia orang itu. Proses inilah yang berlangsung secara sempurna dalam diri manusia dan telah ditanamkan benih sifat-sifat tersebut. Oleh itu perlihatkanlah sifat-sifat Tuhan tersebut dalam diri kita dan bukannya memperlihatkan sifat peribadi yang ego.

Jadi, setiap daripada kita haruslah memeriksa diri sendiri. Apakah setiap anggota badan dan gerak langkah kita selaras dengan kehendak Tuhan atau tidak? Kalau setiap anggota badan dan tubuh kita memperlihatkan langkah dan gerakan yang tidak bertentangan dengan ajaran Tuhan, maka barulah stres tidak akan mendekati diri kita.

Abdul Latief Ahmad

No comments:

Post a Comment