Thursday, December 9, 2010

Demonstrasi tidak diajar dalam Islam

Demonstrasi bukan ajaran Islam

BARU-BARU ini, sekali lagi adegan dan slogan demonstrasi dilaungkan di jalanan. Atas nama amar makruf nahi mungkar dan jihad, ia dipenuhi dengan seruan kebencian dan protes ke atas pemimpin.
Persoalannya, adakah demonstrasi adalah sanjuran agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum perlakuan demonstrasi di sisi agama?
Dalam tulisan yang lalu (melalui blog dan akhbar), telah dibentangkan kaedah-kaedah syarie dalam menegur dan memperbaiki keterlanjuran pemimpin.
Antaranya dengan cara nasihat, mendoakan mereka dengan kebaikan, bertemu dan berbincang, memperbanyakkan kesabaran serta tidak mengaibkan atau merendah-rendahkan kedudukannya.
Begitulah kaedah-kaedah syarie dalam bermuamalah terhadap pemerintah. Sama ada yang adil mahupun yang zalim. Selagi mana mereka masih menzahirkan keislaman dan syiar solat.
Syiar kaum kuffar
Pada masa sama, amalan syarie telah menunjukkan betapa Islam adalah agama perdamaian, membenci kekacauan, teratur, dan penuh ketenangan.
Secara automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemimpin sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam jika roh agama tersebut berjaya difahami dengan baik.
Amalan demonstrasi dan memprotes terhadap pemimpin adalah sebahagian syiar kaum kuffar yang kemudiannya diikuti oleh golongan pemberontak (khawarij) di era awal sejarah umat Islam.
Ia bukanlah amalan anjuran Islam. Bahkan bertentangan pula dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.
Demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan (bidaah) dalam agama dalam hal berurusan terhadap pemerintah.
Maka, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya tidak terjerumus ke dalam syiar kaum kuffar dan khawarij.
Nabi SAW telah berpesan: "Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya. Kami (para sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?" Beginda menjawab, "Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?" (riwayat al-Bukhari)
Di hadis yang lain, Rasulullah SAW mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum.
Sabda baginda: "Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan pihak pemimpin, maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan kepada pemimpin walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka matinya adalah seperti matinya kaum jahiliah. (riwayat al-Bukhari)."
Ini kerana masyarakat jahiliah itu tidak memiliki pimpinan yang konsisten. Hidup mereka berpecah-belah dan saling jatuh-menjatuhkan antara satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu' al-Fatawa.
Pemimpin yang dimaksudkan hadis itu merujuk kepada pemimpin (yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat Islam secara umum.
Ia tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan'ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam Subulus Salam.
Perbuatan demonstrasi memprotes pemimpin ini sendiri sebenarnya termasuk juga ke dalam sebahagian ciri-ciri memisahkan diri daripada ketaatan terhadap penguasa.
* NAWAWI SUBANDI ialah Ahli Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU).


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Monday, December 6, 2010

Ketuanan Melayu - Dr MAZA

Iktikad ‘Ketuanan Melayu’ Menyanggahi Islam

IKTIKAD ‘KETUANAN MELAYU’ MENYANGGAHI ISLAM
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Merujuk kepada isu ‘Ketuanan Melayu’ yang dijadikan isu sekarang, maka di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara;

1. Istilah ‘Ketuanan Melayu’ (malay supremacy) adalah istilah yang kabur. Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini. Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.

2. Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘melayu’, ia bermaksud orang melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan melayu’. Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia’.
3. Ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan melayu’, kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain. Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.
4. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam. Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.
5. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Ayat ini menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.
6. Nabi s.a.w menegaskan lagi dalam hadis baginda:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.
7. Adapun hadis Nabi s.a.w: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:
“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).
Ini menafikan ketuanan kaum tertentu.
8. Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

Sunday, November 21, 2010

Stres Dari Perspektif Rohani


Stres mungkin adalah penyebab utama penyakit dalam dunia moden hari ini. Stres adalah perkataan umum yang digunakan oleh kebanyakan orang untuk menggambarkan maksudnya yang tersendiri. Bagaimana pun bagi orang yang berorientasikan sains, stres menjadi tumpuan kajian oleh ahli-ahli psikologi, penganalisis tabiat dan para doktor. Stres telah dikaji dan dibincangkan secara meluas. Dan menurut sebahagian ahli psikologi, stres mempunyai perspektif dari segi rohani yang mana dengan adanya pengetahuan dalam hal ini, ia dapat membantu kita mengangani stres.

Stres adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan jasmani dan ia berkait rapat pula dengan rohani kita. Dua aspek tersebut saling melengkapi dan menciptakan persekitaran dalam diri seseorang. Kekuatan rohani seseorang mampu memberi sokongan kepada tubuh fizikalnya untuk menanggung segala penderitaan atau kesakitan. Oleh itu stres merupakan satu hubungan antara tubuh, minda dan rohani.

Bukanlah mudah untuk mendefinisikan stres, malah ia merupakan satu subjek yang mempunyai implikasi yang pelbagai. Dalam kamus Oxford definisi stres ialah “Tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau mental.” Definisi stres dalam ungkapan yang ringkas ialah suatu keadaan di mana kekuatan fizikal, mental dan emosi diuji melampaui keupayaan tubuh dan minda yang tidak mampu menahan dan menanggungnya.

Kesimpulannya stres adalah suatu keadaan yang tidak selesa. Dalam tahun 1920 Walter Cannon seorang ahli psikologi yang terkemuka, mengemukakan bahawa maksud stres sebagai gerak balas lawan atau lari. Wilhem Raab kemudiannya mengemukakan kesan kelebihan hormon adrenalin dan kortison dalam badan manusia membuatkan seseorang itu stres. Hasn Selye pula memberikan maksud baru, dengan membuktikan dalam kajiannya terhadap binatang. Beliau menunjukkan bahawa stres menyebabkan penyakit. Dan penyakiti yang disebabkan oleh stres boleh menyebabkan kematian dan ia boleh berlaku pada manusia.

Sebenarnya stres itu adalah sebahagian dari kehidupan kita, baik dari segi keburukan mahupun dari segi kebaikannya. Untuk memahami asal-usul stres itu seseorang hendaklah memahami tujuan dan matlamat hidupnya. Kelahiran dan kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada Tuhan yang mencipta tujuan hidup manusia untuk membuktikan kewujudan-Nya. Dan Tuhan menampakkan menifestasinya lebih banyak pada diri manusia dibandingkan dengan makhluk-Nya yang lain.

Dalam aspek inilah sebuah gambaran Asma Ilahi telah ditanamkan di dalam tingkah laku manusia. Ketika gambaran tersebut sempurna ia pun dinamakan Khalifatullah. Ini dapat dikembangkan di dalam diri kita. Melalui hubungan dengan Tuhan, ia dapat melenyapkan stres yang dihadapi oleh manusia di zaman siber ini. Oleh keran itu warnailah diri kita dengan sifat-sifat Tuhan. Jangan pisahkan sifat-sifat ini dalam kehidupan kita, kerana benda apa sahaja jika sifat-sifatnya ditinggalkan nescaya ia tidak akan ada wujudnya.

Lihatlah besi misalnya, besi memiliki sifat-sifatnya yang tertentu. Apabila besi itu kita pisahkan dari sifat-sifatnya maka tamatlah riwayat besi itu. Oleh yang demikian orang yang demi untuk Tuhan mereka meninggalkan dunianya lalu mengambil dunia Tuhan maka Allah menjaga dunia orang itu. Proses inilah yang berlangsung secara sempurna dalam diri manusia dan telah ditanamkan benih sifat-sifat tersebut. Oleh itu perlihatkanlah sifat-sifat Tuhan tersebut dalam diri kita dan bukannya memperlihatkan sifat peribadi yang ego.

Jadi, setiap daripada kita haruslah memeriksa diri sendiri. Apakah setiap anggota badan dan gerak langkah kita selaras dengan kehendak Tuhan atau tidak? Kalau setiap anggota badan dan tubuh kita memperlihatkan langkah dan gerakan yang tidak bertentangan dengan ajaran Tuhan, maka barulah stres tidak akan mendekati diri kita.

Abdul Latief Ahmad

Sucikan Hati Dari Buruk Sangka


Banyak orang yang mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu keinginan tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk menyempurnakan keinginan tersebut. Ia bagaikan angin yang berlalu atau buih yang disapu oleh arus yang deras.  Sebenarnya banyak sekali faedah-faedah dari proses ciptaan Allah s.w.t yang diperolehi oleh manusia, misalnya sebuah motor ia memerlukan bahan minyak sebagai pembakar. Tetapi perlu diingat bahawa sebegitu banyak minyak yang disediakan untuk menghidupkan mesin ianya tetap akan menjadi sia-sia seandainya tidak ada unsur luar yang akan berfungsi sebagai pembantu. Untuk menghidupkan mesin itu diperlukan starter, maka barulah mesin itu boleh dihidupkan. Kalau kita perhatikan hal ini, maka kita akan mendapatkan satu jawapan bahawa di dalam kehidupan manusia ada sesuatu yang harus berfungsi sebagai minyak yang kalau ini berjalan maka ia akan mendatangkan faedah yang sangat luar biasa.

Jadi, dalam melakukan kebaikan perlu mempunyai sifat kedawaman (istiqamah) pada kebaikan tersebut. Inilah yang diajarkan oleh Islam, kerana tanda masyarakat yang baik ialah apabila perbuatannya mengangkat maruah kemanusiaan sejagat yang membawa slogan keamanan, menghormati kemanusiaan dan kasih sayang atas dasar kebaikan kepada seluruh umat manusia. Perkara yang membuatkan agama tidak suci ialah apabila tidak ada belas kasihan terhadap manusia dan niat jahat yang menjadi duri dalam daging. Oleh kerana itu untuk melakukan kebaikan janganlah menjadikan agama untuk menyakiti manusia.

Dan dengan pegangan agamalah kehidupan manusia memperoleh kedekatan dengan Tuhan. Jika mahu di langit pun akan belas kasih kepada kita sucikanlah hati dari buruk sangka dan dendam kesumat. Tinggalkanlah niat jahat dan iri hati. Hendaknya tangan, lidah dan hati dijauhi dari rancangan yang keji, sikap memberontak, berhenti melakukan kekejaman, menggelapkan wang, rasuah, menipu kepada orang lain dan pilih kasih. Jauhi dari kumpulan yang jahat. Hindari mata dengan pandangan yang tajam dan selamatkan telinga dari mendengar fitnah.

Dan jangan sekali-kali terfikir untuk merugikan agama yang lain, bangsa, suku, dan manusia. Jadilah manusia yang jujur untuk semua, jangan jadi  masyarakat yang jahat dan yang suka memberontak dan jangan sekali-kali kita dalam kumpulan ini. Jauhilah segala bentuk dosa dan cubalah meraih kebaikan. Hati harus bebas dari penipuan, tangan harus bersih dari sebarang kekejaman dan mata harus bersih dari segala kekotoran. Inilah secara ringkas yang diajarkan oleh Islam kepada kita, yang kadang-kadang kita sudah melupainya. Keindahan inilah hendaknya kita kembangkan dalam kehidupan kita supaya dunia dapat mengenali kita melalui suasana yang aman menerusi ajaran agama yang membawa kepada satu slogan dalam Bahasa Inggeris iaitu ‘Love For All and Hatred For None’ yang bermaksud ‘sayang pada semua dan tidak benci pada sesiapa’.

Berkat-berkat inilah yang harus dijadikan pakej dari kehidupan kita, kebaikan apa pun yang telah kita perolehi jangan sampai hendaknya kita lepaskan. Keburukan apa pun yang telah kita hilangkan jangan hendaknya kembali lagi kepada kita. Barulah hidup ini akan menjadi indah dan damai dari segala malapetaka.

Abdul Latief Ahmad
Plentong, Johor.

Tuesday, November 16, 2010

Manusia Dikelirukan Dengan Falsafah Barat


Ilmuan Barat tidak mempercayai kewujudan Tuhan berdasarkan kepada sains dan falsafah moden. Mereka mendakwa bahawa evolusi adalah satu sifat yang diwarisi di dalam sesuatu benda dan evolusi membolehkan sesuatu benda hidup berkembang dari satu peringkat yang rendah ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka juga mendakwa semua benda yang ada di dunia sekarang ini adalah hasil dari pelbagai perubahan yang berlaku di bawah hukum evolusi. Mereka mendakwa bahawa alam semesta yang wujud sekarang ini dengan sistemnya yang begitu halus dan menyeluruh tidak boleh dijadikan sebagai bukti wujudnya satu ‘Pencipta’ kerana semua ini menyatakan bahawa dunia ini wujud hasil dari perubahan yang lebih kompleks. Persoalannya dari manakah asalnya dunia ini diciptakan?

Penyokong teori evolusi tidak memberikan jawapan kepada persoalan ini. Persoalan yang kedua ialah jika semua benda mengalami perubahan atas hukum alam dan bukan di bawah perintah Tuhan, dari manakah asal-usul sesuatu benda itu? Memang benar sesuatu hukum berasal dari satu hukum yang lain tetapi berapa panjang pun rantaian ‘sebab dan akibat’ ini berlangsung, ia mesti ada permulaannya.

Semua teori dari pandangan ahli sains serta kajian mereka yang tidak lengkap tidak boleh disebutkan sebagai fakta yang terbukti kerana kemungkinan berlakunya kesilapan. Bukti kewujudan Tuhan adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang lebih meyakinkan daripada fakta sains yang sedia ada. Ramai saintis yang menolak teori Darwin yang masih belum dapat dibuktikan kesahihannya. Semasa kematian Sir John Ambrose Fleming (1849-1945), kenyataannya tertulis di dalam sebuah akhbar. Walaupun Sir John seorang saintis yang terkenal, tetapi beliau bukanlah seorang yang tidak mempercayai mukjizat.

Menganggap teori evolusi Darwin hanyalah sebagai satu dugaan saja. Sebab yang lain pula, ilmuan barat tidak mempunyai pandangan rohani yang membuatkan mereka meragui kewujudan Tuhan dan akhirnya mereka menyimpulkan bahawa dunia ini seperti sebuah mesin dan semua perubahan yang berlaku di alam semesta ini adalah disebabkan oleh mekanisme dalamannya. Sebab yang kedua mengapa ahli falsafah moden Eropah membawa manusia jauh dari agama adalah kerana teori evolusi penciptaan khususnya manusia bertentangan dengan doktrin agama yang diwahyukan. Dikeranakan mereka kalah dengan ilmu falsafah moden dan sains, di mana ilmu-ilmu ini terletak di tangan paderi-paderi Kristian barat, kerana mereka adalah orang-orang pertama yang mendengar suara falsafah moden dan sains. Mereka bertindak secara tidak rasional apabila menerima ‘pukulan’ dari ilmu sains. Penganut agama mereka memandang paderi-paderi yang menjaga agama tidak berdaya berhadapan dengan kajian sains moden dan mereka akhirnya beralih kepada Atheisme. Bila gelombang perubahan ini sampai ke bangsa-bangsa yang lain maka mereka hilang kekuatan dan keberanian, dengan itu mereka menyaksikan kekalahan dalam agama. Maka setiap kekalahan itu membuka jalan kepada kekalahan yang seterusnya.

Al-qur’an menyatakan bahawa Tuhan menciptakan langit dan bumi dalam enam hari atau ‘yaum’, kata ‘yaum’ digunakan secara meluas dalam bahasa Arab bukan bermaksud satu hari tetapi juga bermaksud ‘zaman’ atau ‘satu umur’. Lebih-lebih lagi kata ‘yaum’ tidak melambangkan 24 jam sehari yang berkaitan dengan pergerakan matahari dan bumi tetapi Al-Qur’an merujuk kepada masa sebelum penciptaan. Tuhan berfirman “Kami menciptakan bumi, langit, matahari, bulan dan bintang dalam enam yaum”. Menurut bahasa Arab dan konteks ayat ini yaum bermaksud masa, umur atau tempoh. Oleh itu maksud ayat di atas adalah ‘Kami menciptakan bumi dalam enam peringkat yang berbeza iaitu peringkat demi peringkat’. Ilmu sains tidak membantah hal ini dan alam semesta memang melalui berbagai peringkat yang berbeza sebelum sampai kepada keadaan sekarang.

Begitu juga di dalam hadis Nabi Suci Muhammad s.a.w menyatakan bahawa umur dunia ini adalah 7000 tahun dan Nabi Adam a.s lahir 5000 tahun sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Perkara ini telah disalahtafsirkan oleh manusia sehingga menyangka bahawa manusia telah wujud hanya beberapa ribu tahun dahulu sahaja sehingga penyokong teori evolusi diberi peluang untuk menghentam agama. Maksud sebenar hadis itu adalah dunia ini telah melalui beberapa umur, manusia zaman ini wujud beberapa ribu tahun dahulu dan tiada siapa yang mengetahui berapa jumlah bangsa manusia yang telah wujud sebelum kita..

Seorang ulama Islam bernama Sufi Muhyiddin Ibnu Arabi menulis bahawa beliau melihat dalam kashaf  yang menyatakan dunia ini dihuni oleh beratus ribuan ‘Adam’. Apabila satu bangsa adam pupus maka satu bangsa adam yang lain pula muncul. Walaupun gambaran agak ringkas tetapi benar. Penciptaan manusia yang digambarkan oleh Al-Qur’an tidak bertentangan dengan bukti saintifik dan sebenarnya ia berfungsi untuk panduan bagi kajian tentang sains.


Abdul latief ahmad
Pemikir bebas.

Didik anak cara Islam

WALAUPUN ibu bapa pada zaman sekarang mementingkan pendidikan anak, namun masih ramai yang hanya memberi menekankan kepada aspek akademik semata-mata berbanding pendidikan rohaniah dan sahsiah diri.
Hakikatnya kita sentiasa dipesankan agar menjaga diri dan keluarga sebagaimana dalam surah at-Tahrim ayat 6, Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.
Jelas di sini, dalam usaha kita menjauhkan diri kita dan keluarga daripada api neraka, maka kita perlu mendidik ahli keluarga dengan sebaik-baiknya. Maka itu, sebelum kita bergerak ke arah perubahan maka diri kita sendiri perlu diperkasakan dahulu.
Pendidikan ke atas anak-anak perlu bermula sejak kecil dan ibu, bapa atau penjaga wajib mengajarkan kepada anak-anak dan jagaan mereka mengenai perkara yang perlu mereka ketahui sebagai bekalan apabila mereka baligh.
Ibnu al-Qayyim menambahkan beberapa dalil lain yang menunjukkan kewajipan mendidik. Antaranya adalah seperti berikut:
"Ajarkan anak-anak kamu solat ketika mereka masuk usia tujuh tahun. Pukullah mereka sekiranya mereka melalikan solat apabila mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka." (riwayat Ahmad dan Abu Daud)
"Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang tua kepada anaknya melebihi adab yang baik." (riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
"Apabila kamu mendidik anakmu, ia adalah lebih baik bagimu daripada kamu bersedekah setiap hari sebanyak setengah cupak kepada orang-orang miskin." (riwayat Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)
Sementara itu, Ibnu Umar pula berkata: "Ajar anakmu kerana kelak Allah bertanya kepadamu mengenai apa yang kamu ajarkan kepadanya. Allah juga akan bertanya kepada anakmu berkenaan bakti dan ketaatannya kepadamu."
Seperkara yang perlu ditakuti oleh setiap yang bergelar ibu dan bapa ialah Ibnu Said dan Ibnu Abbas menyatakan, Rasulullah SAW ada bersabda: Siapa yang mendapat anak, berikan dia nama yang baik kepada anaknya dan mendidiknya dengan baik. Apabila anak itu mencapai usia baligh, hendaklah dia dikahwinkan kerana sekiranya anak mencapai usia baligh tetapi tidak berkahwin dan kemudian dia berzina, orang tuanya yang menanggung dosa."
Apabila ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan baik, bererti mereka menjaga diri sendiri dan anak-anak mereka daripada api neraka.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa mendidik adalah kewajipan syariat bagi setiap orang yang menjadi pemimpin, sesuai dengan kadar tanggungjawab dan tahap kepimpinannya. Sekiranya ada yang menganggap ia perkara remeh, lantas mensia-siakan tugas mendidik itu, nescaya mereka tidak terhindar daripada api neraka.
Lantaran itu, dalam usaha melaksanakan pendidikan berlandaskan ajaran Islam, kita perlu mengetahui bagaimana kita hendak memulakannya dan apa yang diperlukan apabila kita berada di titik permulaan.
Kedua, kita perlu mengetahui siapakah jemaah pertama yang menerima didikan Nabi Muhammad secara langsung. Jemaah generasi inilah yang perlu dijadikan panduan dan rujukan kita dalam cara pendidikan selepas kitab Allah dan sunnah Nabi, bukannya meniru cara hidup ataupun masyarakat di Barat sana.
Ketiga, kita perlu menyedari tidak ada jalan lain selain jalan yang ditempuh oleh generasi pertama yang terkeluar daripada kejahilan. Generasi ini yang terdiri daripada para sahabat, akhirnya mencapai puncak tertinggi dalam Islam.
Oleh itu orang yang melaksanakan tugas mendidik perlu mempunyai sifat-sifat tertentu supaya mereka boleh melakukannya dengan baik. Antaranya; hikmah, soleh, mempunyai kemahiran dalam pengurusan manusia, mewujudkan kemaslahatan manusia, melakukan kebaikan, berpengetahuan, mengamalkan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain, mengajar secara berperingkat iaitu dimulakan daripada yang kecil ataupun yang mudah dan hanya mengamalkan dan mengajarkan ilmu yang diperintahkan oleh Allah.
Begitulah sebahagian ilmu-ilmu penting berkenaan pendidikan anak secara menyeluruh yang dikupas di dalam buku Mendidik Anak Perempuan. Ia bagi memastikan ibu bapa pada hari ini bersedia memberikan didikan rohani dan sahsiah diri kepada anak perempuan sejak lahir, sehingga mereka berumah tangga.
Buku tulisan Abdul Mun'im Ibrahim juga bertujuan;
l Menunjukkan betapa pentingnya perasaan malu yang harus dijaga oleh anak perempuan sama ada dalam ucapan, perbuatan mahupun sikap.
l Mengelakkan ramai wanita terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang berpunca daripada kurangnya didikan agama yang sempurna.
l Menambahkan pengetahuan ibu bapa mengenai didikan anak gaya Rasulullah SAW yang menitikberatkan cara didikan bersepadu dan holistik kepada anak perempuan.
l Menjelaskan ajaran Islam yang memuliakan dan menyelamatkan kaum wanita daripada kehinaan seperti yang wujud pada zaman jahiliah.
l Anak perempuan adalah pihak yang banyak mengundang fitnah seperti yang pernah nabi sebutkan.
Buku setebal 397 muka surat ini terbahagi kepada 13 bab yang mengandungi tajuk-tajuk; Definisi Baligh, Mendidik Anak Cara Islam, Bersikap Adil kepada Anak, Mendoakan yang Terbaik untuk Anak, Mendidik Anak Sejak Saat Kelahiran, Pengaruh Keadaan Sekeliling kepada Pendidikan Anak, Kaedah Ganjaran dan Hukuman, Mendidik Anak Perempuan Sebelum Berusia 3 Tahun Sehingga 6 Tahun, Mendidik Anak Perempuan Sebelum Berusia 9 Tahun Sehingga 10 Tahun, Mendidik Anak dengan Akhlak yang Baik, Menerangkan Perkara-Perkara yang Terlarang, Mengajar Ilmu Rumah Tangga dan Perkara Penting Mendidik Anak Perempuan.
Sementara itu dalam buku Didik Anak Gaya Rasulullah yang ditulis oleh Prof. Dr. Huzaemah membahaskan secara terperinci berkaitan hukum-hakam, hak-hak serta kewajipan-kewajipan yang dimiliki anak kecil yang disokong oleh nas daripada al-Quran dan hadis.
Antara kandungan yang dibicarakan;
* Hukum dan hak yang ditetapkan kepada anak mengikut peringkat usia
* Segala perkara yang berhubung dengan bayi yang baru dilahirkan.
* Hukum berkhatan dan hikmah disyariatkan.
* Hukum menyusukan anak serta penjelasan mengenai syariat mendapatkan hak penjagaan anak.
* Penjelasan mengenai nafkah anak serta hukum anak dalam bersuci, solat, zakat, puasa dan haji.
* Hukum anak kecil dalam hal jual beli serta hikmahnya.
* Perincian mengenai pernikahan anak kecil, talak, kesaksian serta perihal wali.
Hasil kupasan yang ditulis oleh penulis yang memiliki kepakaran dalam bidang Fikah dari Universiti al-Azhar ini menjanjikan kepuasan yang luar biasa buat semua pembaca, khususnya para ibu bapa yang mahu mempelajari seterusnya mendalami hak-hak serta kewajipan-kewajipan permata hati mereka bagi memastikan mereka mampu mengharungi kehidupan yang sempurna di dunia yang serba mencabar ini.
Oleh itu, jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya. Ungkapan bicara yang biasa disebut-sebut acap kali menyentuh soal golongan yang bergelar orang muda, belia dan beliawanis.
Itulah hakikatnya yang perlu diterima oleh semua. Anak-anak pada hari ini kelak akan menjadi orang dewasa yang mempunyai peranan penting pada masa hadapan. Bahkan di bahu mereka tergantung nasib dunia ini kerana mereka adalah harapan generasi tua dan pewaris agama, bangsa dan negara.
Sumber:-