Thursday, December 9, 2010

Demonstrasi tidak diajar dalam Islam

Demonstrasi bukan ajaran Islam

BARU-BARU ini, sekali lagi adegan dan slogan demonstrasi dilaungkan di jalanan. Atas nama amar makruf nahi mungkar dan jihad, ia dipenuhi dengan seruan kebencian dan protes ke atas pemimpin.
Persoalannya, adakah demonstrasi adalah sanjuran agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum perlakuan demonstrasi di sisi agama?
Dalam tulisan yang lalu (melalui blog dan akhbar), telah dibentangkan kaedah-kaedah syarie dalam menegur dan memperbaiki keterlanjuran pemimpin.
Antaranya dengan cara nasihat, mendoakan mereka dengan kebaikan, bertemu dan berbincang, memperbanyakkan kesabaran serta tidak mengaibkan atau merendah-rendahkan kedudukannya.
Begitulah kaedah-kaedah syarie dalam bermuamalah terhadap pemerintah. Sama ada yang adil mahupun yang zalim. Selagi mana mereka masih menzahirkan keislaman dan syiar solat.
Syiar kaum kuffar
Pada masa sama, amalan syarie telah menunjukkan betapa Islam adalah agama perdamaian, membenci kekacauan, teratur, dan penuh ketenangan.
Secara automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemimpin sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam jika roh agama tersebut berjaya difahami dengan baik.
Amalan demonstrasi dan memprotes terhadap pemimpin adalah sebahagian syiar kaum kuffar yang kemudiannya diikuti oleh golongan pemberontak (khawarij) di era awal sejarah umat Islam.
Ia bukanlah amalan anjuran Islam. Bahkan bertentangan pula dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.
Demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan (bidaah) dalam agama dalam hal berurusan terhadap pemerintah.
Maka, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya tidak terjerumus ke dalam syiar kaum kuffar dan khawarij.
Nabi SAW telah berpesan: "Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya. Kami (para sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?" Beginda menjawab, "Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?" (riwayat al-Bukhari)
Di hadis yang lain, Rasulullah SAW mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum.
Sabda baginda: "Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan pihak pemimpin, maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan kepada pemimpin walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka matinya adalah seperti matinya kaum jahiliah. (riwayat al-Bukhari)."
Ini kerana masyarakat jahiliah itu tidak memiliki pimpinan yang konsisten. Hidup mereka berpecah-belah dan saling jatuh-menjatuhkan antara satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu' al-Fatawa.
Pemimpin yang dimaksudkan hadis itu merujuk kepada pemimpin (yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat Islam secara umum.
Ia tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan'ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam Subulus Salam.
Perbuatan demonstrasi memprotes pemimpin ini sendiri sebenarnya termasuk juga ke dalam sebahagian ciri-ciri memisahkan diri daripada ketaatan terhadap penguasa.
* NAWAWI SUBANDI ialah Ahli Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU).


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Monday, December 6, 2010

Ketuanan Melayu - Dr MAZA

Iktikad ‘Ketuanan Melayu’ Menyanggahi Islam

IKTIKAD ‘KETUANAN MELAYU’ MENYANGGAHI ISLAM
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Merujuk kepada isu ‘Ketuanan Melayu’ yang dijadikan isu sekarang, maka di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara;

1. Istilah ‘Ketuanan Melayu’ (malay supremacy) adalah istilah yang kabur. Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini. Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.

2. Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘melayu’, ia bermaksud orang melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan melayu’. Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia’.
3. Ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan melayu’, kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain. Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.
4. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam. Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.
5. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Ayat ini menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.
6. Nabi s.a.w menegaskan lagi dalam hadis baginda:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.
7. Adapun hadis Nabi s.a.w: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:
“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).
Ini menafikan ketuanan kaum tertentu.
8. Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.