Tuesday, November 16, 2010

Kekayaan Terletak Di Hati

Di dalam Islam tidak ada satu aktiviti manusia yang tidak bernafaskan dengan ibadah. Jika ini dapat terlaksana, maka akan membuahkan ketenangan jiwa yang selalu mempengaruhi realiti kehidupan seseorang baik dalam bertindak mahupun dalam beramal. Sebenarnya dalam diri manusia ia merupakan tempat simpanan budi pekerti dan sifat bersyukur yang selalu membuka jiwa untuk melaksanakan peranannya sebagai khalifatullah di muka bumi. Untuk merealisasikan kebahagiaan manusia supaya tidak menyimpang dari agama-Nya, maka manusia diberikan kemampuan untuk menanamkan setiap elemen dalam kehidupan yang sangat indah ini dengan kesyukuran.

Seperti firman Allah dalam Al-Qur’an ‘Dan Dia menjadikan bagi kamu telinga, mata dan hati supaya kamu bersyukur’. Ada 70 tempat di dalam Al-Qur’an yang menerangkan tentang bersyukur. Konsep syukur ini adalah suatu ikatan rohani antara orang Mukmin dengan Tuhannya. Tetapi konsep yang diajarkan oleh Islam tidak lagi dipraktiskan oleh kebanyakan masyarakat pada hari ini.

Ekoran daripada itu terjadilah fenomena gaya hidup mewah yang sudah menjadi satu trend bagi generasi muda hari ini. Memang kita tidak nafikan setiap manusia ingin memiliki barang-barang yang baik. Lebih-lebih lagi barang yang baik itu menjadi rebutan ramai orang yang mendorong hasrat manusia untuk mendapatkan barang tersebut semakin bertambah. Dalam hal ini kita sebagai umat Islam harus memiliki sifat Qana’ah (menerima apa adanya). Walaupun melihat adanya barang-barang yang baik di sekelilingnya, akan tetapi dia tidak tamakkan harta duniawi dan tidak irihati melihat harta orang lain melainkan apa yang ada padanya dia rasakan sudah memadai atau mencukupi. Orang yang seperti ini sekalipun makan nasi hanya dengan berlaukkan garam sekalipun, ia akan merasakan kenikmatan dan kelazatan lebih daripada orang yang tidak memiliki sifat Qana’ah tersebut.

Orang yang tidak memiliki sifat Qana’ah, hatinya tetap tidak merasa puas dan tenang kerana menginginkan sesuatu barang yang lebih tinggi lagi di luar kemampuannya. Sifat Qana’ah ini pada dasarnya berkait rapat dengan kecintaan kepada Allah swt. Apabila manusia memahami masalah ini, maka apa sahaja yang telah diberikan oleh Allah swt dia akan menerima dengan senang hati kerana Rasulullah s.a.w ada bersabda “Kekayaan itu bukan terletak pada orang yang mempunyai banyak harta, melainkan kekayaan itu terletak di dalam hati”. Maka dari itu kalau kita tidak kaitkan kecintaan kita dengan Allah swt dan Tauhid, maka akan muncul kemusyrikan. Manusia akan menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan harta bendanya sebagai berhala yang disembah, kerana ia selalu mendapati dirinya dan keinginannya belum cukup sempurna sehingga menginginkan sesuatu yang lebih banyak lagi. Oleh sebab itu tanamilah sifat Qana’ah dalam diri kita dengan didasari oleh kecintaan dan keredhaan-Nya. Hanya dengan cara itu kita dapat memiliki syurga di dunia ini juga, dengan menerima apa sahaja yang direzekikan oleh Allah swt kepada kita.

Abdul Latief Ahmad,
Plentong, Johor.

No comments:

Post a Comment