Sunday, November 21, 2010

Sucikan Hati Dari Buruk Sangka


Banyak orang yang mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu keinginan tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk menyempurnakan keinginan tersebut. Ia bagaikan angin yang berlalu atau buih yang disapu oleh arus yang deras.  Sebenarnya banyak sekali faedah-faedah dari proses ciptaan Allah s.w.t yang diperolehi oleh manusia, misalnya sebuah motor ia memerlukan bahan minyak sebagai pembakar. Tetapi perlu diingat bahawa sebegitu banyak minyak yang disediakan untuk menghidupkan mesin ianya tetap akan menjadi sia-sia seandainya tidak ada unsur luar yang akan berfungsi sebagai pembantu. Untuk menghidupkan mesin itu diperlukan starter, maka barulah mesin itu boleh dihidupkan. Kalau kita perhatikan hal ini, maka kita akan mendapatkan satu jawapan bahawa di dalam kehidupan manusia ada sesuatu yang harus berfungsi sebagai minyak yang kalau ini berjalan maka ia akan mendatangkan faedah yang sangat luar biasa.

Jadi, dalam melakukan kebaikan perlu mempunyai sifat kedawaman (istiqamah) pada kebaikan tersebut. Inilah yang diajarkan oleh Islam, kerana tanda masyarakat yang baik ialah apabila perbuatannya mengangkat maruah kemanusiaan sejagat yang membawa slogan keamanan, menghormati kemanusiaan dan kasih sayang atas dasar kebaikan kepada seluruh umat manusia. Perkara yang membuatkan agama tidak suci ialah apabila tidak ada belas kasihan terhadap manusia dan niat jahat yang menjadi duri dalam daging. Oleh kerana itu untuk melakukan kebaikan janganlah menjadikan agama untuk menyakiti manusia.

Dan dengan pegangan agamalah kehidupan manusia memperoleh kedekatan dengan Tuhan. Jika mahu di langit pun akan belas kasih kepada kita sucikanlah hati dari buruk sangka dan dendam kesumat. Tinggalkanlah niat jahat dan iri hati. Hendaknya tangan, lidah dan hati dijauhi dari rancangan yang keji, sikap memberontak, berhenti melakukan kekejaman, menggelapkan wang, rasuah, menipu kepada orang lain dan pilih kasih. Jauhi dari kumpulan yang jahat. Hindari mata dengan pandangan yang tajam dan selamatkan telinga dari mendengar fitnah.

Dan jangan sekali-kali terfikir untuk merugikan agama yang lain, bangsa, suku, dan manusia. Jadilah manusia yang jujur untuk semua, jangan jadi  masyarakat yang jahat dan yang suka memberontak dan jangan sekali-kali kita dalam kumpulan ini. Jauhilah segala bentuk dosa dan cubalah meraih kebaikan. Hati harus bebas dari penipuan, tangan harus bersih dari sebarang kekejaman dan mata harus bersih dari segala kekotoran. Inilah secara ringkas yang diajarkan oleh Islam kepada kita, yang kadang-kadang kita sudah melupainya. Keindahan inilah hendaknya kita kembangkan dalam kehidupan kita supaya dunia dapat mengenali kita melalui suasana yang aman menerusi ajaran agama yang membawa kepada satu slogan dalam Bahasa Inggeris iaitu ‘Love For All and Hatred For None’ yang bermaksud ‘sayang pada semua dan tidak benci pada sesiapa’.

Berkat-berkat inilah yang harus dijadikan pakej dari kehidupan kita, kebaikan apa pun yang telah kita perolehi jangan sampai hendaknya kita lepaskan. Keburukan apa pun yang telah kita hilangkan jangan hendaknya kembali lagi kepada kita. Barulah hidup ini akan menjadi indah dan damai dari segala malapetaka.

Abdul Latief Ahmad
Plentong, Johor.

No comments:

Post a Comment