Friday, November 12, 2010

Buku Merupakan Aura


Bangsa yang mementingkan ilmu adalah bangsa yang mempunyai tabiat dan minat membaca yang tinggi. Salah satu petanda sesebuah bangsa yang intelektualnya tinggi adalah bangsa yang sentiasa menghargai ilmu dan banyak membaca buku-buku ilmiah untuk membina tamadun yang jitu dan maju. Persoalannya adakah rakyat Malaysia telah bersedia menerapkan dunia intelektualisme di kalangan masyarakatnya? Jika mahukan sasaran rakyat Malaysia pada tahun 2008 untuk membaca enam buah buku setahun, kita hendaklah jadikan tradisi membaca ini hidup serta kukuh dalam masyarakat dan untuk mencapainya kita harus bermula dari peringkat akar umbi dan natijahnya akan dapat dilihat dalam tempoh 10-15 tahun yang akan datang.

Membaca tidak mengira batasan umur dan peringkat usia. Membaca perlu ada dukungan, rangsangan dalam diri sendiri untuk membina tabiat suka membaca, mengkaji dan berkarya. Dengan buku jugalah memberikan kecerdasan intelektual, minda dan rohani yang tidak ternilai sucinya, kerana dengan membaca kita telah mengasah minda dan fikiran hatta memberikan santapan rohani dengan ilmu baru yang sangat berharga hasil perkongsian dunia buku dengan orang yang membacanya. Oleh itu, dengan aspirasi membaca, minda kita akan melalui suatu proses transisi ke arah tradisi yang minat membaca. Antara faktor dalam membudayakan masyarakat membaca, wujudkan kesedaran dalam diri kita dengan minat membaca buku-buku ilmiah dan intelektual.

Buku tidak pernah lokek dalam memberikan ilmu kepada kita. Lagi lama kita membaca lagi banyak ilmu yang diberikannya kepada kita. Membaca memainkan peranan untuk menjadikan kekuatan akal dan minda dengan mengangkat martabat manusia menjadi insan kamil. Jangan menjadikan minda kita minda picisan yang tidak membawa apa-apa faedah dan rendah mutunya. Tanpa disedari, faktor persekitaran banyak mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Oleh itu amatlah penting bagi ibu bapa, guru, teman sebaya dan institusi pengajian tinggi menjadikan kekuatan akal dan minda dengan memberikan buku-buku ilmiah dan majalah-majalah berpengetahuan daripada produk majalah picisan yang usang yang membuatkan kilang minda kita diolah dengan majalah hiburan dan cerita tahayul sahaja. Selagi seseorang itu tidak mahu berubah maka pandangan dunianya akan menjadi sempit, kerana kemajuan hanya boleh dicapai melalui perubahan. Maka itu platform yang paling berkesan untuk menyumbang kepada negara yang bertaraf dunia adalah dengan minat membaca buku-buku ilmiah yang membolehkan masyarakat kita berjaya di dalam mencapai gagasan 2020.

Iradah ini haruslah dijalankan dan diterapkan supaya rakyat Malaysia menjadi bangsa yang berilmu yang mampu melahirkan generasi intelektual yang tahu menghargai dan memartabatkan ilmu. Seperti ada riwayat menyebutkan masyarakat kalau mahu dibangun mestilah berpaksi kepada keimanan dan kekuatan ilmu. Oleh itu, jadikan kekuatan aura intelektual sebagai kunci kemajuan bangsa kita.


Disediakan oleh
Abdul Latief Ahmad
Plentong, Johor

No comments:

Post a Comment